NAHAS SEGAMAT: “ADIK DAH SEDAR, BOLEH GERAK TANGAN” – ABANG SULUNG

MUAR: Remaja lelaki yang terselamat dalam nahas jalan raya sehingga mengorbankan enam ahli keluarganya di Segamat, dilaporkan mulai sedar dan mampu menggerakkan tangannya.
Keadaan terkini Abdullah Amir Ruddin, 15, itu dimaklumkan oleh abangnya Abdurrahman Amir Ruddin, 19, yang sebelum ini mengalami kecederaan teruk, dan ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Segamat.
“Alhamdulillah, adik dah sedar dan boleh menggerakkan tangan. Paling menggembirakan bila adik pegang tangan ahli keluarga kami ketika melawatnya di ICU, kami bersyukur dengan perkhabaran gembira itu.
“Sejak hari pertama kejadian, kami sentiasa berdoa semoga adik cepat sembuh kerana kami takut kehilangan seorang lagi ahli keluarga,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Abdur Rahman berkata, dia dimaklumkan kebanyakan wayar yang dipasang di tubuh adiknya sudah dicabut.
Bagaimanapun, adiknya akan menjalani pembedahan memasukkan besi di tangan pada 16 September depan.
Kemalangan pada 1 Sept lepas di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, telah mengorbankan bapa dan ibu mangsa iaitu Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhammad, 43.
Turut maut empat lagi adik-beradik mangsa, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, setelah kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori.—AlHijrah Online