NAMA CALON PH MASIH DISENARAI DALAM KERTAS UNDI

Foto Arkib

ROMPIN: Nama calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Fadzli Mohd Ramly bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih tertera di kertas undi walaupun dilaporkan calon itu memberi laluan calon Barisan Nasional (BN).

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang Datuk Zamree Hamli berkata status pencalonan tidak boleh diubah selepas tempoh penamaan calon ditutup walau apa pun pengumuman dibuat oleh pihak parti bertanding.

Zamree berkata Mohd Fadzli daripada Amanah, iaitu komponen dalam PH, juga boleh terus berkempen dan pengundi juga masih boleh memberi undi kepada calon tersebut. 

“SPR cuma menyediakan gelanggang untuk calon bertanding. Keputusan mereka untuk beri laluan itu atas dasar politik mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi hari ini berhubung kenyataan Amanah yang bersetuju memberikan laluan kepada calon BN dalam saingan DUN Tioman, mengambil kira perkembangan BN dan PH membentuk kerajaan negeri Pahang.

PRU15 DUN Tioman akan berlangsung 7 Dis ini, selepas ditangguhkan berikutan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Proses penamaan calon bagi DUN Tioman berlangsung pada 24 Nov lepas manakala 3 Dis ini ditetapkan hari pengundian awal. 

Dalam pilihan raya itu, Mohd Fadzli sepatutnya berhadapan dalam saingan lima penjuru melibatkan calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Nor Idayu Hashim (PN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas). 

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Sebelum ini, Mohd Fadzli dilaporkan bersedia memberi laluan kepada calon BN jika diarahkan pucuk pimpinan parti susulan kerjasama antara dua parti tersebut di Pahang selepas PRU15.-AlHijrah Online

Leave a Reply