PASUKAN COVID-19 HOSPITAL SUNGAI BULOH TERIMA ANUGERAH KESIHATAN GLOBAL

KUALA LUMPUR: Pasukan COVID-19 Hospital Sungai Buloh, Selangor diberi pengiktirafan bagi Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020 berikutan usaha memerangi pandemik COVID-19.

Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit, Dr C. Suresh Kumar dan Ketua Jabatan Anestesia dan Rawatan Rapi Hospital Sungai Buloh, Dr Shaiful Azman Zakaria, kedua-duanya menerima anugerah itu sebagai pejuang COVID-19.

Kejayaan kedua-dua individu itu mendapat penghargaan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Dr Suresh Kumar, Dr Shaiful Azman Zakaria dan pasukan COVID-19 atas pengiktirafan di GHA 2020.

“Negara menghargai dedikasi dan pengorbanan semua. Alhamdulillah,” kata Dr Noor Hisham menerusi ciapan di akaun Twitternya.

Menurut laman sesawang GHA, anugerah Asia Pasifik serantau itu bertujuan mengiktiraf syarikat dalam pelbagai pasaran serantau yang mengekalkan piawaian yang tinggi secara konsisten dalam menyampaikan penjagaan berkualiti untuk menggembirakan pelanggan mereka di setiap peringkat dan dalam setiap interaksi.

Sejak COVID-19 menyerang Malaysia, Hospital Sungai Buloh ditetapkan sebagai hospital utama COVID-19 di Malaysia pada Mac lepas.

Dr Suresh Kumar mempunyai pengalaman lebih 15 tahun sebagai perunding penyakit berjangkit di Hospital Sungai Buloh dan beliau baru-baru ini berada di Sabah bagi membendung penularan pandemik COVID-19 di negeri itu.

Dr Shaiful Azman pula mengkhusus dalam bidang anestesiologi dan rawatan rapi sejak 1996 dan pernah bekerja di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kelantan.–AlHijrah Online

Leave a Reply