TIGA PELAJAR TAAYAH POSITIF COVID-19

IPOH: Tiga pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah, di Ipoh disahkan positif COVID-19 hasil ujian calitan atau ‘swab test’ yang dijalankan minggu lalu.

Exco Agama Islam Dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, tiga pelajar berkenaan dikesan positif selepas ujian calitan dilakukan terhadap lebih 600 pelajar, guru serta kakitangan.

“Hasil dari ujian calitan, yang positif tu pelajar Tingkatan Enam, Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat. Seorang lagi (pelajar Tingkatan Dua) yang terbaru semalam sesak nafas dan dihantar untuk ujian.

“Tapi kita belum pasti pelajar Tingkatan Dua ini positif atau tidak,” katanya.

Menurut Mohd Akmal, susulan itu lebih 200 pelajar yang gejala dan kontak rapat kepada semua pesakit terbabit telah diarah menjalankan kuarantin di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Ulu Kinta.

Ujar beliau, lebih 370 pelajar pula menjalani kuaranti kuarantin kendiri di asrama sekolah terbabit sejak Ahad lalu.

Katanya, setakat ini keadaan terkawal dan operasi sekolah tersebut masih ditutup sebagai langkah pencegahan penularan wabak.

Mohd Akmal berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Ijtimak Perkaderan Dakwah Negeri Perak Di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, di Ipoh hari ini.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sebelum ini mengarahkan Sekolah Raja Perempuan Taayah ditutup selepas seorang pelajar Sekolah Izzuddin Shah yang menginap di asrama sekolah itu disahkan positif COVID-19.

Arahan penutupan turut dikeluarkan kepada Sekolah Izzuddin Shah bermula 23 Oktober lalu sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak berpandukan kepada kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN). — AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply