MU’TAH, JORDAN: Seorang pelajar perempuan Malaysia di Jordan dilaporkan meninggal dunia selepas pulang dari menunaikan ibadah umrah, pada 11 Feb (Selasa).
Allahyarhamah Nur Ain Nabila Mohd Damin, 19, yang merupakan pelajar mahasiswa jurusan Fiqh Wa Usuluh di Universiti Mu’tah, Jordan menghembuskan nafas terakhirnya yang berpunca daripada serangan jantung.
Menurut rakannya, Mohamad Syahmiel Izzuwa Mohamad Rosly, Allahyarhamah baru sahaja tiba di Mu’tah dengan menaiki bas setelah menunaikan umrah bersama rombongan pelajar Malaysia yang lain.
“Almarhumah pengsan secara tiba-tiba di dalam bas dan dibawa ke hospital berdekatan dengan menaiki ambulans.
“Pihak hospital melakukan CPR sebaik saja arwah tiba di wad kecemasan kemudian keadaan arwah kembali normal.
“Namun lebih kurang 10 minit kemudian, bacaan jantungnya dikatakan semakin menurun dan lemah sebelum meninggal dunia,” katanya semasa dihubungi Berita AlHijrah, hari ini.
Syahmiel berkata, jenazah Allahyarhamah diuruskan di Hospital Karak, Jordan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mu’tah, Jordan.
Berita AlHijrah mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga Allahyarhamah Nur Ain Nabila Mohd Damin, semoga rohnya ditempatkan bersama dengan orang yang beriman. Al-Fatihah.—AlHijrah Online