PEMANDU AMBULANS DIRAWAT EMPAT HARI DI ICU SEBELUM MENINGGAL DUNIA

SEMANGGOL: Seorang pemandu ambulans yang meninggal dunia semalam telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selama empat hari sejak Jumaat sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Isnin.

Exco Kesihatan Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, allahyarham pengsan secara tiba-tiba dan dihantar ke HRPB untuk rawatan.

“Memang ada melibatkan seorang kakitangan daripada Klinik Kesihatan Tronoh dan juga mangsa atau pun kakitangan ini sebenarnya pengsan tiba-tiba sewaktu melaksanakan tugas dan dikejarkan HRPB.

“Kejadian ini berlaku hari Jumaat yang lepas dan semalam iaitu pada hari Isnin kita menerima dan juga mengesahkan berita pemergian allahyarham,” katanya.

Jelasnya Jabatan Kesihatan Negeri Perak akan mengeluarkan keputusan punca kematian pemandu ambulans itu dalam kadar segera sebaik laporan bedah siasat diterima.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat dan menyampaikan kit kesihatan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Aman, Semanggol hari ini.

Ahmad Saidi diminta mengulas mengenai isu tular di laman sosial berhubung seorang pemandu ambulans yang meninggal dunia didakwa akibat keletihan.

Beliau juga mewakili kerajaan negeri Perak mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Sejak semalam tular di media sosial mengenai pemandu ambulans yang dikatakan meninggal dunia selepas menghantar seorang pesakit COVID-19 ke sebuah hospital di Perak.

Gambar pemandu ambulans itu tular dalam keadaan terbaring dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) serta dikerumuni beberapa petugas kesihatan yang cuba memberikan bantuan kecemasan.

Difahamkan, pemandu ambulans berkenaan menghidap penyakit asma dan sewaktu kejadian, allahyarham dipercayai keletihan sebelum tidak sedarkan diri. — AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply