Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PEMANDU BAS SEBABKAN KEMATIAN 15 PELAJAR UPSI MENGAKU TIDAK BERSALAH

DALAM NEGARA

PEMANDU BAS SEBABKAN KEMATIAN 15 PELAJAR UPSI MENGAKU TIDAK BERSALAH

Pemandu bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan tragis sehingga meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik Isnin lalu mengaku tidak bersalah atas 16 pertuduhan yang dikemukakan di Mahkamah Majistret Gerik, hari ini.



GERIK: Pemandu bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan tragis sehingga meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik Isnin lalu mengaku tidak bersalah atas 16 pertuduhan yang dikemukakan di Mahkamah Majistret Gerik, hari ini.

Tertuduh, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, mengaku tidak bersalah atas 15 pertuduhan yang dikemukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengikut pertuduhan, lelaki berasal dari Kelantan terbabit didakwa memandu bas ekspres dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian 15 pelajar UPSI sekitar jam 1.15 pagi 9 Jun lalu di KM 15, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli-Gerik.

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Sufea Adela Maslihaizan, 21, Mohammad Aqil Taqiudin, 21, Anis Soffiyya Md Zaidi, 20, Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21, Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dan Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, 22. 

Mohd Amirul Fadhil turut didakwa menyebabkan kematian Fakhrul Arif Rosdi, 20, Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21, Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, Nur Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21, Muhammad Mustaqim Rosde, 21, Nor Ayuni Maslan, 21, Nurly Sahirah Azman, 23, dan Fatin Nasrien Fadli, 22.

Bagi setiap pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, lelaki terbabit akan hilang kelayakan untuk memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan jika sabit kesalahan.

Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM19,000 bagi semua pertuduhan dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan, dilarang mendekati mangsa dan saksi serta lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan 14 Julai depan untuk sebutan semula serta serahan dokumen dan lantikan peguam. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading