PEMANDU EKSKAVATOR MAUT TERTIMBUS RUNTUHAN BATU DI POKOK SENA

Pemandu ekskavator (kanan) dipercayai tertimbus di tapak pembinaan selepas berlaku runtuhan tanah pada pagi Sabtu. -foto Sinar Harian

ALOR SETAR: Seorang pemandu ekskavator maut selepas tertimbus runtuhan batu di tapak pembinaan di Jalan Padang Tembak, dekat Pokok Sena, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Nasir Awang Ali yang berusia 40 tahun.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.37 pagi berhubung kejadian runtuhan batu daripada kerja-kerja menimbun di tapak pembinaan dan mangsa yang terlibat merupakan pemandu ekskavator.

“Saksi yang berada di lokasi kejadian ternampak mangsa sempat melompat keluar dari jentera berkenaan tetapi gagal ke lokasi yang selamat. Dianggarkan kedalaman mangsa tertimbus adalah 3.048 meter,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa telah ditemukan pada 12.38 tengah hari setelah operasi pencarian yang dibahagikan kepada dua sektor digerakkan di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi telah ditamatkan sepenuhnya pada 12.51 tengah hari,” katanya. –AlHijrah Online

Leave a Reply