Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PENGANGGUR MENGAKU BAKAR LORI MBJB, DIPENJARA LIMA TAHUN & DENDA RM6,000

DALAM NEGARA

PENGANGGUR MENGAKU BAKAR LORI MBJB, DIPENJARA LIMA TAHUN & DENDA RM6,000

Seorang penganggur yang mengaku bersalah membakar lori tunda milik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) minggu lalu dihukum penjara lima tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.

Sumber: BERNAMA

JOHOR BAHRU: Seorang penganggur yang mengaku bersalah membakar lori tunda milik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) minggu lalu dihukum penjara lima tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen disini pada Rabu.

Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Wan Muhammad Nasrul W Ahmad, 31 tahun selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu,

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah dengan sengaja membakar lori tunda milik MBJB dengan mengakibatkan kerugian sebanyak RM24,000.

“Betul, saya yang bakar. Saya dalam keadaan marah sebab kereta ditarik.

“Saya orang susah banyak komitmen perlu tanggung. Hutang kereta, motosikal dan rumah. Saya belum berkahwin dan baru nak mulakan kerja,” menurut tertuduh.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya berkata, meskipun tertuduh memberikan alasan tidak mampu dan melakukan kesalahan itu dalam keadaan marah, perbuatan membakar lori tunda di kawasan awam bukan sahaja menjejaskan harta benda di lokasi kejadian, malah turut membahayakan keselamatan orang ramai serta kakitangan Depoh Simpanan Kenderaan MBJB.

“Pendakwaan memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan tertuduh,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM6,000 terhadap tertuduh dan jika gagal membayar denda, akan dipenjara enam bulan.

Mengikut fakta kes, pada jam 11.07 pagi, Jumaat lalu, pengadu yang juga penguatkuasa MBJB terdengar bunyi letupan ketika berada di kaunter Depoh Simpanan Kenderaan MBJB sebelum berlari keluar dan melihat sebuah lori tunda milik MBJB terbakar.

Berdasarkan rakaman CCTV, kelihatan seorang lelaki menuang petrol dan menyalakan api ke arah bahagian belakang lori tunda itu.

Polis kemudian tiba di tempat kejadian dan menahan tertuduh serta merampas satu tong aluminium berwarna kelabu dan pemetik api.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading