Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PENINGKATAN KES SEKSUAL MELIBATKAN REMAJA BAWAH UMUR SANGAT MEMBIMBANGKAN – MOHD NA’IM

DALAM NEGARA

PENINGKATAN KES SEKSUAL MELIBATKAN REMAJA BAWAH UMUR SANGAT MEMBIMBANGKAN – MOHD NA’IM

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes rogol dan sumbang mahram membabitkan remaja bawah umur seawal 10 tahun sangat membimbangkan dan perlu ditangani sebelum menjadi lebih parah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. – Bernama

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes rogol dan sumbang mahram membabitkan remaja bawah umur seawal 10 tahun sangat membimbangkan dan perlu ditangani sebelum menjadi lebih parah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kerajaan memandang serius perkara itu kerana gejala seksual remaja merupakan satu petunjuk dan petanda kurang sihat serta berisiko tinggi mengancam kesejahteraan generasi muda.

“Jika fenomena sosial ini terus dibiarkan tanpa strategi yang berkesan oleh semua pihak berkepentingan, ianya akan menyebabkan satu situasi kecemasan sosial (social emergency) yang lebih parah. 

“Kanak-kanak dan remaja hari ini terdedah kepada lambakan bahan berunsur lucah dan seksual melalui media digital tanpa tapisan. Akibatnya, ramai yang terjerumus dalam gejala seksual atas faktor ingin mencuba ataupun akibat eksploitasi oleh golongan dewasa yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya gejala itu perlu ditangani segera dengan pendekatan strategi yang bersepadu dan holistik, melibatkan semua pihak khususnya ibu bapa sebagai pendidik utama, masyarakat dan pihak berwajib.

Strategi pencegahan berupa Pendidikan Seksualiti Holistik (PSH) yang memberi penekanan kepada lima dimensi seksualiti iaitu intelek, emosi, sosial, spiritual dan fizikal (biologi) perlu dipertingkat. 

Pendidikan Seksualiti Holistik (PSH) mestilah merangkumi tiga elemen utama iaitu disesuaikan dengan tahap usia kematangan anak-anak; berasakan nilai agama, budaya dan adat resam; dan berdasarkan data kajian saintifik yang tepat.

“Ibu bapa dan golongan dewasa mestilah diberikan pengetahuan asas berkaitan Pendidikan Seksualiti Holistik (PSH), serta dilatih dengan kemahiran berkomunikasi dengan anak remaja berkaitan aspek seksualiti secara selamat dan hormat. 

“Remaja mestilah diperkasa dengan ilmu pengetahuan asas PSH untuk membantu mereka membuat keputusan yang bijak dan sejahtera berkaitan aspek seksualiti mereka sendiri,” katanya.

Bagi anak-anak remaja yang telah terjebak dengan gejala seksual pula, usaha perlu difokuskan kepada kaedah mengurangkan risiko (harm reduction) berlakunya masalah kesihatan mental, kehamilan remaja, pengguguran dan jangkitan kelamin dalam kalangan remaja perempuan dan lelaki. 

Ibu bapa kepada remaja yang sudah terbabit mesti diberi kesedaran untuk melindungi anak remaja mereka dari terus mengamalkan gaya hidup berisiko tinggi. 

Tindakan undang-undang yang lebih tegas perlu diambil ke atas individu atau pihak yang bertanggungjawab melakukan eksploitasi seperti amang seksual, cabul dan rogol yang merosakkan remaja.

“Islam juga mengajar bahawa setiap individu wajib menjaga maruah dirinya dan menjauhi segala bentuk fitnah dan kerosakan. Usaha menjaga kehormatan dan keturunan bukan hanya tanggungjawab peribadi, malah satu amanah sosial yang wajib dipikul bersama.

“Saya menyeru semua pihak, institusi keluarga, sekolah, masjid, NGO dan agensi kerajaan untuk berganding bahu membentuk ekosistem sokongan yang selamat dan berkesan bagi membimbing remaja kita ke arah jalan yang lebih baik dan diredai Allah SWT,” katanya. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading