PENJAWAT AWAM SELANGOR TERIMA SATU BULAN GAJI BANTUAN KHAS KEWANGAN HARI RAYA

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Gambar : Bernama

SHAH ALAM: Anggota perkhidmatan kerajaan negeri Selangor akan menerima bantuan khas kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak satu bulan gaji atau minimum RM1,000, umum Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata bantuan khas tersebut adalah bagi menghargai usaha serta komitmen para penjawat awam yang tidak kenal erti penat lelah bersama-sama memakmurkan negeri.

Beliau berkata bantuan tersebut turut merangkumi pemberian kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Tuan Speaker, Timbalan Speaker, Ahli Dewan Negeri, pengurusan tertinggi dan anggota perkhidmatan kerajaan negeri yang gajinya dibayar oleh Kerajaan Persekutuan.

Katanya, ini akan membabitkan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM39.15 juta yang akan dibayar pada 27 April nanti.

Amirudin berkata kerajaan negeri juga bersetuju agar bayaran khas kewangan yang dinamakan Insentif Rahmah Ramadan Selangor berjumlah RM1,000, dipanjangkan kepada pemimpin masyarakat iaitu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pegawai Perhubungan Kampung Baru/Bagan/Tersusun, Ketua Komuniti India, Setiausaha MPKK dan Penyelia Wanita Berdaya Selangor.

“Bagi Penggerak Belia Selangor (PeBs), sebanyak RM500 juga diperuntukkan kepada mereka iaitu insentif ini akan dibiayai oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri juga bersetuju agar Insentif Rahmah Ramadan Selangor sejumlah RM500 diberikan kepada penggerak masjid (nazir, imam, siak dan bilal) atas dedikasi pengimarahan institusi masjid sepanjang Ramadan ini, yang akan disalurkan melalui inisiatif khidmat sosial korporat anak syarikat kerajaan negeri,” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply