PERLUNYA PEMAKANAN SIHAT KETIKA TUNAI IBADAH HAJI

Selain daripada menjaga kesihatan mental dan spiritual, kesihatan fizikal juga wajar dititik beratkan oleh para jemaah haji. (Gamba: AFP)

Aktiviti ziarah dan ibadah haji yang dilakukan setiap tahun di Makkah oleh seramai dua hingga tiga juta umat Islam dari seluruh dunia adalah antara perjumpaan terbesar di dunia. Menurut Menteri Haji dan Umrah (Menhaj) Arab Saudi Dr Tawfiq Al-Rabiah, beliau mengungkapkan bahawa Arab Saudi bersiap menerima dua juta jemaah selama musim haji tahun 1444 Hijrah seperti dipetik dari Saudi Gazette, pada 25 Januari lalu.

Kumpulan berjuta manusia ini berpotensi meningkatkan risiko jangkitan pelbagai jenis penyakit sama ada secara sentuhan fizikal mahupun melalui udara. Disebabkan oleh kesesakan lautan manusia inilah, ibadah haji seringkali dikaitkan dengan sejumlah risiko kesihatan yang akan ditempuhi oleh para jemaah haji.

Selain daripada menjaga kesihatan mental dan spiritual, kesihatan fizikal juga wajar dititik beratkan oleh para jemaah haji. Disebabkan itu, pengambilan makanan secara sederhana sepanjang menjalani ibadah haji ini menjadi satu isu yang perlu dititikberatkan oleh semua pihak yang terlibat.

“Tiada lelaki yang mengisi bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Beberapa suapan yang membuat punggungnya tegak (iaitu mencukupinya untuk tenaga yang diperlukan) sudah memadai untuknya. Akan tetapi, jika terpaksa (memakan lebih banyak), hendaklak menyimpan satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk bernafas.”

Hadith Riwayat Ahmad dan Tarmidzi R.A.

Selain dari menikmati juadah makanan secara bersederhana, para jemaah haji juga sepatutnya memastikan makanan yang diambil adalah menyihatkan dan juga jauh dari kuman, bakteria dan parasit. Maka dengan itu adalah makanan yang dari pelbagai unsur yang diperlukan oleh tubuh badan, samada dalam kontek kalori, protein atau vitamin.

Secara sainsnya, perancangan pemakanan yang ideal dan sesuai adalah seperti protein dalam bentuk daging, telur, ikan dan juga susu. Selain daripada itu, makanan yang kaya dengan vitamin adalah seperti hati, buah-buahan, sayur-sayuran, jagung dan juga produk berasaskan gandum.

Begitu juga lelemak penting sebagai sumber tenaga haba seperti krim, mentega serta minyak yang menyihatkan seperti minyak zaitun. Walau bagaimanapun, para jemaah haji dan pihak pengurusan haji seperti Tabung Haji perlu juga mengambil kira diet lain bagi sesetengah jemaah haji yang memerlukan diet istimewa sepanjang mengerjakan haji.

Sebagai contoh, pesakit buah pinggang memerlukan diet rendah protein serta rendah garam dan air yang banyak serta mengelak makanan berlemak berlebihan. Diet lain yang berbeza juga perlu diambil kira bagi jemaah haji yang pengidap penyakit seperti kencing manis, gout, darah tinggi dan lain-lain lagi.

Pihat Tabung Haji mungkin boleh menyediakan khidmat nasihat pakar pemakanan untuk pengidap penyakit-penyakit khusus sebelum berlepas ke tanah suci.

Secara keseluruhannya, beberapa cadangan penulis untuk memastikan diet seimbang ketika pengerjakan ibadah haji:

  1. Mengelak dari memakan makanan yang terdedah dan sekiranya perlu makan makanan yang bungkus siap secara komersial, untuk memastikan tarikh luputnya.
  2. Pengambilan makanan secara bersederhana dan tidak berlebihan supaya perut tidak terbeban. Makanan yang mempunyai lemak yang banyak serta minuman bergas sewajarnya dielakkan.
  3. Sekiranya ingin menikmati sayuran dan buah-buahan, memastikan ianya dibasuh terlebih dahulu dan masih segar.
  4. Memastikan daging atau makanan yang perlu dimasak, disempurnakan proses memasaknya.
  5. Minum minuman yang mengandungi kandungan mineral yang cukup serta memperbanyakkan meminum air bersih.
  6. Memastikan pengambilan diet pemakanan yang sesuai dengan diri sendiri berbanding mengikut selera semata-mata atau mengikut orang lain.
  7. Penjagaan kebersihan diri seperti mengutamakan amalam membersihkan tangan.

Jelasnya, pengambilan pemakanan yang bersih, segar, dan berkhasiat secara selamat sepanjang mengerjakan ibadah haji adalah sangat penting untuk memastikan tubuh badan yang sihat serta menghindari penyakit-penyakit yang akan mengganggu proses spiritual ibadah haji ini. — AlHijrah Online

Penulis adalah Dekan, Fakulti Hospitaliti dan Pengurusan Pelancongan, UCSI University, Kuala Lumpur yang kini sedang melaksanakan ibadah haji di bawah Program Jemputan Khaadimul Haramain Al-Syarefain tahun 2023 bersamaan 1444 Hijrah.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.


Leave a Reply