PILIHAN RAYA TURKIYE: ANWAR UCAP TAHNIAH KEPADA ERDOGAN

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Recep Tayyip Erdogan yang berjaya dipilih semula sebagai presiden Turkiye.
Dalam ciapan di Twitternya, Anwar mengharapkan agar Malaysia dapat bekerjasama rapat dengan Turkiye untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala yang sudah terjalin sebelum ini.
“Tahniah kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan kerana dipilih sebagai Presiden Republik Türkiye ke-13 dalam pilihan raya Presiden baru-baru ini.
“Türkiye akan terus memainkan peranan yang membina sebagai pemain serantau dan global yang penting,” katanya hari ini.
Pada Ahad, Erdogan menang jawatan presiden Turkiye mengatasi pencabarnya Kemal Kilicdaroglu dalam pilihan raya penentu.
Lapor media antarabangsa, Erdogan telah memperoleh 52.14 peratus undi, manakala Kilicdaroglu mendapat 47.86 peratus undian.
Erdogan dalam ucapannya berkata 85 juta rakyat Turkiye adalah pemenang dalam pilihan raya negara yang berakhir pada Ahad.
Lebih 64.1 juta orang telah berdaftar untuk mengundi, termasuk lebih 1.92 juta pengundi luar negara dan hampir 192,000 peti undi telah disediakan.—AlHijrah Online