Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PM ANWAR TEGASKAN TIDAK CAMPUR TANGAN KEPUTUSAN MAHKAMAH BEBASKAN ROSMAH

DALAM NEGARA

PM ANWAR TEGASKAN TIDAK CAMPUR TANGAN KEPUTUSAN MAHKAMAH BEBASKAN ROSMAH

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak campur tangan dalam keputusan mahkamah membebas dan melepaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada tuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai.

Sumber Gambar: BERNAMA

IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak campur tangan dalam keputusan mahkamah membebas dan melepaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada tuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai.

Anwar berkata keputusan itu tertakluk kepada kuasa mahkamah dan pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan tidak wajar menyamakan pentadbirannya dengan pentadbiran terdahulu berkaitan kes-kes di mahkamah.

“Saya tidak menemui mana-mana hakim, saya tidak bicara dengan Ketua Hakim Negara dalam soal keputusan mahkamah. 

“Kita hormati keputusan mahkamah. Kalau dirasakan perlu membuat rayuan, itu keputusan Peguam Negara,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan buku Lim Kit Siang: ‘Malaysian First’ Jilid 1 dan 2 di sini hari ini. 

Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Rosmah daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim K Muniandy membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu untuk membatalkan kesemua tuduhan berkenaan.

Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut hari ini.

Sementara itu, Anwar memaklumkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah adalah di bawah bidang kuasa negeri dan Yang di-Pertuan Agong.

“Apakah Perdana Menteri tak tahu? Perdana Menteri tahu. Memang dirujuk. Tapi Perdana Menteri yang tahu ini pun, tahu Perlembagaan dan batasannya (kuasa Perdana Menteri). 

“Sekarang, setelah Agong perkenan, apa pendirian saya? Saya terima baik keputusan Agong dan mendoakan sebaiknya supaya Tun Musa Aman akan menjadi seorang Yang Dipertua Negeri yang baik untuk Sabah,” katanya. 

Anwar berkata keputusan mahkamah membebaskan Musa daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram pada 2020 adalah ketika dalam pemerintahan kerajaan terdahulu. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading