PN BENTUK KERAJAAN BAHARU PERLIS, TAWAN 14 DARIPADA 15 KERUSI DUN

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen P.003 – Arau Datuk Seri Shahidan Kassim mengangkat tangan selepas menewaskan calon lain dengan jumlah undi 31,458 bagi Parlimen Arau bersama lima calon ADUN PN semasa Pengumuman Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Arau hari ini. –AlHijrah Online

PUTRAJAYA: Perikatan Nasional (PN) mencipta sejarah dengan membentuk kerajaan negeri baharu di Perlis selepas memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 15 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Semasa mengumumkan demikian pada sidang media di sini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata PN memperoleh majoriti undi melebihi 50 peratus.

“Bagi keseluruhan pengundian sehingga 2 pagi, PN memenangi sejumlah 14 kerusi daripada 15 kerusi yang diperuntukkan. Dengan ini, PN berjaya memperoleh suatu majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan,” katanya di Menara SPR hari ini.

Abdul Ghani berkata peratusan keluar mengundi di Perlis adalah sebanyak 76.94 peratus.

PN memenangi kerusi DUN di Titi Tinggi, Chuping, Santan, Sena, Kuala Perlis, Pauh, Guar Sanji, Sanglang, Beseri, Mata Ayer, Bintong, Kayang, Tambun Tulang dan Simpang Empat.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi kerusi Indera Kayangan menerusi Gan Ay Ling dengan majoriti 1,873 undi.

Di KANGAR, kemenangan majoriti dua pertiga itu turut menyaksikan PN menawan kubu kuat Barisan Nasional (BN), yang menguasai negeri itu sejak awal kemerdekaan lagi.

BN juga gagal memenangi sebarang kerusi negeri, yang merupakan rekod terburuk gabungan itu, berbanding 10 kerusi yang diperoleh pada PRU14.

Kejutan berlaku di DUN Bintong apabila Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man kecundang di tangan calon PN Fakhrul Anwar Ismail dengan majoriti 4,329 undi.

Dalam persaingan enam penjuru itu, Azlan memperoleh sebanyak 2,996 undi manakala Fakhrul mendapat 7,325 undi. –AlHijrah Online

Leave a Reply