POLIS AMBIL KETERANGAN INDIVIDU HENTIKAN KERETA DI LORONG KECEMASAN

Sumber Gambar: Facebook

SEREMBAN: Polis akan mengambil keterangan sekumpulan individu dipercayai ahli kelab kereta selepas gambar dan video mereka berkumpul di lorong kecemasan di Lebuhraya Temiang-Pantai dekat sini, tular menerusi media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya mengesan hantaran di Facebook yang menunjukkan sekumpulan individu daripada kelab kereta ‘FCCM-FC Club Malaysia’ memberhentikan kereta untuk bergambar di lebuh raya tersebut kira-kira jam 6.30 petang Sabtu lepas.

“Untuk permulaan kita akan panggil ketua kelab itu dahulu, kita dah kenal pasti kira-kira 48 kereta setakat ini. Berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan tanpa sebab yang munasabah seperti yang tular itu merupakan satu kesalahan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu mengikut Kaedah 53(1) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu tiada kenderaan daripada apa-apa kelas diletak atau ditinggalkan tanpa jagaan di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, hukuman denda juga boleh dikenakan ke atas individu yang terlibat di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Semalam, kelab kereta berkenaan memuat naik beberapa keping gambar di Facebook menunjukkan deretan kenderaan dipercayai milik ahli kelab berhenti di laluan kecemasan kedua-dua arah untuk mengambil gambar yang didakwa merupakan sebahagian daripada aktiviti lepak santai mereka.–AlHijrah Online

Leave a Reply