PENUNGGANG MOTOSIKAL HILANG KAWALAN MAUT DIGILIS LORI

TAPAH: Seorang penunggang motosikal maut selepas hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan raya sebelum digilis lori di Kilometer 57 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini, pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.50 pagi melibatkan mangsa, M Sarasa, 50, yang mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal Honda Wave itu dalam perjalanan menuju ke arah Ipoh.

“Tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa hilang kawalan dan terbabas lalu mangsa terjatuh di atas jalan raya.

“Sebuah lori jenis Nissan yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 67 tahun dari arah sama gagal mengelak lalu menggilis mangsa,” katanya, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.–AlHijrah Online

Leave a Reply