ISTERI TIKAM SUAMI GARA-GARA MASALAH KEWANGAN

SEREMBAN: Seorang wanita ditahan reman selepas disyaki menikam suaminya sendiri di sebuah rumah di Rasah Kemayan, Seremban 2, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata, kejadian berpunca akibat masalah kewangan, yang menyebabkan mangsa, 55, ditikam di bahagian dada dan pinggang dengan senjata tajam.

Katanya, suspek direman selama tujuh hari sehingga 30 Januari ini bagi membantu siasatan selepas perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Majistret Seremban, Emysuriana Muhammad Subry, hari ini.

“Semalam, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban menerima panggilan kecemasan daripada anak mangsa, iaitu seorang gadis berusia 18 tahun yang dipercayai saksi kejadian, memaklumkan bapanya ditikam di lokasi.

“Polis kemudian bergegas ke lokasi sebelum menemui mayat mangsa di ruang dapur rumah terbabit dan mendapati ada dua kesan tikaman di bahagian dada kiri dan pinggang kiri,” katanya.

Ujar Nanda, polis menahan isteri mangsa, 55, di rumah terbabit serta merampas sebilah senjata tajam dipercayai digunakan dalam insiden itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini, untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.–AlHijrah Online

Leave a Reply