POLIS PANTAU ‘POSTING’ RAYA DALAM MEDIA SOSIAL

Sumber Gambar: S. Mahfuz / BenarNews

SEREMBAN: Pemeriksaan polis tidak hanya tertumpu kepada sekatan jalan raya (SJR) tetapi ‘posting’ atau hantaran yang dimuat naik dalam media sosial turut dipantau sempena perayaan Aidilfitri.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Muhammad Mat Yusop, pemantauan di media sosial adalah untuk memastikan arahan yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dipatuhi.

Tambahnya, pemantauan serta pemeriksaan menyeluruh tetap dijalankan lebih 160 anggota polis di sini, walaupun kenderaan masuk ke negeri itu kurang sehingga jalan raya menjadi lengang.

“Selepas solat sunat Aidilfitri mungkin masyarakat akan kunjung-mengunjung, jadi hari ini pasukan pemantau ditambah untuk melakukan pemeriksaan di sekitar taman-taman perumahan dan sempadan daerah di negeri ini.

“Kalau pasukan menerima ‘posting’ gambar-gambar tertentu yang menunjukkan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) tindakan akan diambil,” katanya selepas melakukan tinjauan di SJR Tol Senawang hari ini.

Hasil pemantauan di beberapa masjid utama di negeri ini turut mendapati pematuhan SOP dilaksanakan dengan baik, ujarnya.–AlHijrah Online

Leave a Reply