PRABN KELUAR NOTIS KESIAPSIAGAAN BANJIR KILAT DI TUJUH NEGERI

Sumber gambar: AFP

KUALA LUMPUR: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat melibatkan tujuh negeri. 

Menurut notis itu, negeri terlibat ialah Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Johor, Sarawak serta Kuala Lumpur.

Di Kuala Lumpur, antara lokasi berisiko ialah Pusat Dagangan Dunia (WTC), Jalan Kuching, Kampung Baru, Jalan Pekeliling, Bulatan Dato Onn-Bank Rakyat, Bulatan Pahang, Jalan Batu Bata, Jalan Pahang dan Jalan Cheras berhadapan Ekocheras Mall.

Turut terjejas ialah Jalan Cheras – Desa Aman, Jalan Loke Yew, Kepong Baru, Jalan Raja Chulan, Jalan Sultan Ismail,  Masjid Jamek, Universiti Malaya, Jalan Duta, Kampung Pantai Dalam, Jalan Dang Wangi, Jalan Maarof, Jalan Kia Peng, Jalan Leboh Pasar, stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, tol Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan LRT Sungai Besi.

Di Selangor, kawasan Gombak, Petaling, Kuala Selangor dan Sepang termasuk dalam daerah yang berisiko banjir.

Sementara itu, di Negeri Sembilan, daerah yang berisiko ialah Jelebu, Rembau dan Seremban manakala di Melaka ialah Alor Gajah dan Jasin; di Johor melibatkan Batu Pahat, Muar, Segamat dan Tangkak manakala daerah di Kedah membabitkan Kuala Muda.

Bagi Sarawak pula, kawasan berisiko ialah Sungai Siol, Petra Jaya di Kuching.

Menurut PRABN, risiko itu berdasarkan maklumat ramalan hujan daripada model Numerical Weather Prediction (NWP) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS).

Notis kesiapsiagaan dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh berkenaan.

Penduduk di lokasi berisiko disaran agar mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir. –AlHijrah Online

Leave a Reply