PERDANA MENTERI PALESTIN MENYERU EROPAH BERI TEKANAN TERHADAP ISRAEL

RAMALLAH: Perdana Menteri Palestin, Mohammad Ishtaye menyeru Eropah agar memberi tekanan terhadap Israel untuk mengadakan pilihan raya umum Palestin di Baitulmaqdis Timur, semalam.

Memetik laporan daripada Agensi Berita Xinhua, seruan itu dilakukan ketika mesyuarat dengan diplomat kanan Eropah di Ramallah pada pagi Rabu, menurut kenyataan rasmi.

Menurut kenyataan itu, Ishtaye juga meminta Kesatuan Eropah untuk bersedia membantu menyelia dan memantau proses pilihan raya Palestin.

“Kepimpinan Palestin mempunyai kemampuan untuk mengadakan pilihan raya umum dan mengatasi segala cabaran pihak lain,” kata Ishtaye.

Cabaran utama kepimpinan Palestin ialah memberi tekanan kepada Israel untuk membenarkan rakyat Palestin mengadakan pilihan raya umum di Baitulmaqdis Timur untuk mengadakan pilihan raya parlimen di Tebing Barat, Gaza, dan Baitulmaqdis Timur.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin (CEC), Hanna Nasser meninggalkan Semenanjung Gaza ke Tebing Barat selepas menerima respon bertulis dari Hamas bahawa ia akan mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Nasser dijadualkan untuk membawa surat itu kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk mendapatkan kebenaran presiden bagi menetapkan tarikh pilihan raya parlimen.

Ahli Jawatan Kuasa Pusat Parti Fatah, Hussein al-Sheikh berkata bahawa Presiden Abbas akan memutuskan tarikh itu bergantung kepada jawapan bahagian lain di Palestin.

Sama ada Israel mahu menerima pilihan raya di Baitulmaqdis atau tidak, peningkatan keganasan di Tebing Barat dan Gaza antara Israel dan rakyat Palestin turut menjadi faktor kebimbangan untuk mengadakan pilihan raya.

Pilihan raya parlimen terakhir di wilayah Palestin berlangsung pada Januari 2006. Ketika itu, Hamas memenangi majoriti besar dalam Majlis Perwakilan Pihak Berkuasa Palestin.

Pada 2005, Abbas memenangi pilihan raya presiden yang turut diadakan di wilayah Palestin. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply