PRN SABAH: DEBARAN SIAPA TADBIR SABAH TERJAWAB MALAM INI

KOTA KINABALU: Teka-teki gabungan parti mana yang akan mentadbir negeri Sabah akan terjawab sebentar lagi, sebaik sahaja keputusan demi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diumumkan malam ini.

Tentangan sengit disaksikan antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan Plus, selain Parti Cinta Sabah (PCS).

Sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyaksikan peratusan keluar mengundi sehingga 75 peratus diramal tidak tercapai, kerana hanya 58 peratus sahaja tampil melunaskan tanggungjawab itu setakat jam 3 petang tadi.

Bilangan keluar mengundi yang rendah pastinya ada kaitan dengan penularan virus COVID-19 yang kebelakangan ini meningkat di negeri berkenaan.

PRN Sabah kali ke-16 ini menyaksikan 73 kerusi DUN dipertandingkan, dengan bilangan yang layak mengundi berjumlah 1,124,598 orang.

Seramai 447 calon mengemukakan kertas pencalonan pada 12 September lepas, mewakili 15 parti politik.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkumi Barisan Nasional (BN) yang bertanding di 41 kerusi DUN, Perikatan Nasional (PN) 29 calon, manakala Parti Bersatu Sabah (PBS) 22 calon. Jumlah calon daripada GRS adalah 92 orang.

Sementara itu bagi Warisan Plus yang diterajui Datuk Seri Shafie Apdal, parti Warisan mengemukakan 46 calon, UPKO menampilkan 12 calon, manakala Pakatan Harapan yang merangkumi PKR, DAP dan Amanah bertanding 15 kerusi. Jumlah calon mewakili Warisan Plus adalah 73 orang.

Parti Cinta Sabah, yang dinakhodai mantan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menampilkan 22 calon bagi PRN kali ini.

56 calon Bebas turut bertanding pada PRN kali ini.

Lagi laporan PRN Sabah serta lintas langsung menjelang pengumuman keputusan penuh akan dibawakan dalam Berita AlHijrah jam lapan malam ini, bersama penyampai, Wan Kamarudin Wan Ibrahim. – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply