PRU15: PILIH CALON BERINTEGRITI, BEBAS RASUAH DAN BIJAK

SHAH ALAM: Rakyat diseru agar menggunakan kuasa mereka untuk memilih calon yang berintegriti, bebas rasuah dan bijak.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, pemimpin yang bijak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi negara selama ini.

“Rakyat perlu menunjukkan kepada pemimpin bahawa mereka adalah ‘bos’ kepada pemimpin, tidak lagi hanya ikut pemimpin seperti mana berlaku sebelum ini.”

Jelasnya lagi, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang merupakan medan terbaik untuk merealisasikan hasrat itu.

“Kami di Rasuah Busters adalah seperti oksigen, tiada warna, anda bebas memilih parti mana pun anda mahu. Kami bukan cuba untuk mempengaruhi pilihan anda.”

“Tapi keluarlah mengundi ramai-ramai dan sampaikan mesej kita adalah bos dan kita memilih pemimpin yang akan buat kerja untuk kita,” katanya.

“Demokrasi ini adalah satu proses dan ia adalah proses yang panjang. Kita lihat apa berlaku empat tahun yang lepas dan kita tidak mahu perkara sama berlaku.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran #Satu Jari Sempena Pilihan Raya Umum Ke-15, hari ini.

Sementara itu, Hussamuddin menegaskan Rasuah Busters adalah bebas, berkecuali dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak meskipun ada mendakwa gerakan itu menyebelahi sesetengah parti.-AlHijrah Online

Leave a Reply