Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

RAKYAT KOREA YANG DITAWAN PEMBERONTAK HOUTHI DI LAUT MERAH DIBEBASKAN

DUNIA

RAKYAT KOREA YANG DITAWAN PEMBERONTAK HOUTHI DI LAUT MERAH DIBEBASKAN

SEOUL : Dua rakyat Korea Selatan yang ditawan oleh pemberontak Houthi di Yaman pada awal minggu ini telah dibebaskan, lapor agensi berita Yonhap memetik kementerian luar pada Rabu.

Kedua-duanya adalah antara 16 orang dalam tiga bot yang ditawan pemberontak Houthi pada Isnin kerana didakwa menceroboh kawasan perairan mereka.

Kesemuanya telah dibebaskan bersama-sama kapal mereka pada awal pagi Rabu (waktu Korea) dan berada dalam keadaan selamat serta sihat, menurut kementerian itu yang menambah bahawa anggota keluarga kedua-dua rakyat Korea telah dimaklumkan.

Kedua-duanya telah menaiki sebuah kapal tunda dan dalam perjalanan ke sebuah pelantar penggerudian yang dimiliki syarikat Woongjin Development Co.

Sebuah lagi kapal tunda yang dirampas adalah milik rakyat Arab Saudi yang disewa oleh sebuah syarikat Emiriah Arab Bersatu.

Bot yang dinaiki rakyat Korea Selatan itu kini menuju ke Jizan, Arab Saudi dan dijangka tiba dalam masa dua hari, menurut kementerian tersebut.

Insiden rampasan ketiga-tiga bot berlaku di kawasan perairan kira-kira 15 batu dari barat Pulau Kamaran, Yaman.

Ketika insiden, ketiga-tiga bot dalam perjalanan ke pelabuhan Berbera di Somalia setelah berlepas dari Jizan. Selepas rampasan, pemberontak membawa bot terbabit ke pelabuhan Salif di Hudaidah, Yaman.Seorang anggota Houthi kemudian memberitahu Reuters bahawa kesemua tawanan dibebaskan selepas mengesahkan bahawa mereka tidak mempunyai kaitan dengan negara-negara yang melakukan pencerobohan.

Pegawai Korea Selatan mengetahui insiden itu selepas kedua-dua rakyatnya menghantar mesej media sosial kepada syarikat mereka.

Kerajaan negara itu kemudian menghantar pasukan antipelanunannya, Unit Cheonghae, yang beroperasi di pesisir Somalia, untuk membantu usaha-usaha menyelamat.

Kementerian itu berkata kerajaan kini berusaha memperkukuh langkah keselamatan bagi rakyat dan kapal Korea Selatan untuk mengelak kejadian serupa berulang pada masa akan datang. — BERNAMA


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading