ENAM NGO RAYU MALAYSIA BANTAH RANCANGAN ISRAEL RAMPAS TEBING BARAT

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Enam pertubuhan kerajaan (NGO) berkaitan Palestin hari ini merayu Kerajaan Malaysia menyuarakan bantahan terhadap rancangan rejim zionis Israel untuk mengilhakan (annex) sebahagian besar kawasan Tebing Barat.

Rayuan kepada Kerajaan Malaysia itu disuarakan melalui surat bertarikh hari ini yang dikemukakan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Surat itu ditandatangani wakil daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare), Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Yayasan Al-Quds Malaysia, BDS Malaysia dan Islamic Renaissance Front.

Surat itu berkata bersempena dengan peringatan ke-72 peristiwa Nakbah pada 15 Mei 1948, NGO terbabit ingin menarik perhatian Perdana Menteri terhadap kenyataan Israel berhubung rancangannya untuk mengilhakan Tebing Barat.

“Kami menulis surat ini kepada Tan Sri untuk merayu agar pihak Tan Sri mengeluarkan kenyataan mewakili Malaysia bagi menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Persidangan Kerjasama Islam (OIC) bertindak ke atas rancangan pengilhakan ini.

“Tindakan pengilhakan oleh rejim itu akan mencetuskan bantahan keras bukan sahaja daripada warga Palestin, malah daripada masyarakat sivil di seluruh dunia.

“Dalam situasi pandemik COVID-19, rejim Israel berusaha melengkapkan pendudukannya ke seluruh kawasan Tebing Barat. Ini adalah provokasi terang-terangan yang akan meningkatkan ketegangan dan tentunya disusuli kekejaman tentera Israel,” demikian kandungan surat terbabit yang turut dikongsikan dengan AlHijrah Online hari ini.

NGO terbabit berkata, adalah tidak ragu-ragu lagi bahawa tindakan itu merupakan rancangan rejim zionis untuk merampas seluruh kawasan Tebing Barat dan mereka lakukannya sejak 1967 untuk menduduki seluruh tanah Palestin.

“Kami percaya, jika masyarakat antarabangsa tidak memberi maklum balas keras dalam masa terdekat, Palestin akan lenyap sama sekali kerana Israel tidak akan berhenti selepas merampas beberapa kejiranan dalam wilayah dijajahnya.

“Rejim Israel menyasarkan untuk meneruskan agenda 1967 iaitu menduduki Jerusalem (Baitulmaqdis Timur) secara keseluruhan,” demikian antara kandungan surat itu merujuk kepada resolusi ‘kerajaan darurat’ di antara Benjamin Netanyahu dan Benny Gantz mengilhakkan sebahagian besar Tebing Barat pada Julai depan.

Pembahagian wilayah Palestin itu melalui pengilhakan sebahagian besar Jerusalem (Baitulmaqdis Timur) dan Tebing Barat, termasuk Lembah Jordan, akan menghapuskan setiap inci tanah rakyat Palestin yang masih berbaki selain Gaza.

Perluasan wilayah Israel itu merupakan sebahagian agenda “Perjanjian Abad Ini” yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Rancangan rejim zionis Israel itu juga pelanggaran secara langsung terhadap Konvensyen Geneva Keempat dan semua undang-undang antarabangsa.

Ini termasuklah Resolusi 242 Majlis Keselamatan PBB pada 1967 yang tidak mengiktiraf pengilhakan Timur Jerusalem pada 1980 dan Bukit Golan pada 1981.

“Jika tidak disekat, ketegangan akan meningkat dan berkemungkinan besar ianya meletus menjadi pertumpahan darah yang menyebabkan ramai warga Palestin terkorban,” kata wakil NGO terbabit.

Enam wakil NGO terbabit adalah Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid; Pengerusi MyCare, Dr Hafizi Mohd Nor; Pengerusi PCOM, Muslim Imran; Dr Sharif Abu Shammala (Yayasan Al Quds Malaysia); Prof Mohd Nazari Ismail (BDS Malaysia) dan Datuk Dr Ahmad Farouk Musa (Islamic Renaissance Front) – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply