REMAJA LELAKI BUNUH SERTA BUANG BAYI, DIHUKUM MATI MANDATORI

AYER KEROH: Seorang pembantu kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan membunuh serta membuang bayi lelaki yang dilahirkan oleh teman wanitanya, hujung bulan lalu.

Tertuduh, Ahmad Shamil Ashraf Zainudin (19) tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Dalam pertuduhan tersebut, remaja lelaki tersebut didakwa membunuh seorang bayi lelaki yang dilahirkan oleh teman wanitanya yang berusia 18 tahun di kawasan semak yang berada di tepi jalan, antara jam 12.01 pagi hingga 10.30 malam, pada 29 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Majistret menetapkan tarikh 19 Mei bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
 
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja perempuan dan teman lelakinya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes buang bayi di kawasan semak berhampiran kilang di Telok Mas pada 29 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Sukri Kaman berkata, hasil siasatan mendapati remaja perempuan tersebut mengaku melahirkan bayi itu hasil hubungan sulit dengan teman lelakinya.

Dalam kejadian tersebut, tertuduh sendiri menyambut kelahiran bayi lelaki tersebut di sebuah rumah di Taman Telok Mas, sebelum suspek membungkus bayi yang masih hidup ke dalam kotak plastik dan dibungkus dalam plastik hitam sebelum membuangnya ke kawasan semak.
 
Bagaimanapun, remaja perempuan tersebut terpaksa menerima rawatan di Hospital Melaka akibat pendarahan sementara teman lelakinya ditahan polis di perkarangan hospital berkenaan.

Remaja perempuan tersebut dibebaskan dengan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah.—AlHijrah Online

Leave a Reply