POLIS HILANG JARI KAKI, DILANGGAR PENUNGGANG MEMBAWA DADAH

Sumber Gambar: Polis Petaling Jaya

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis kehilangan dua jari kaki kirinya selepas dilanggar seorang penunggang yang panik dalam cubaan melarikan diri semasa berhadapan dengan pemeriksaan mengejut di lorong motosikal, di Lebuhraya Persekutuan menghala Shah Alam, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, dalam kejadian kira kira 1.20 tengah hari itu, suspek yang disyaki membawa dadah telah melanggar seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas bersama pasukan ronda cegah jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Tambahnya, suspek berusia 49 tahun ditahan selepas polis menjumpai dadah disyaki heroin seberat 11.89 gram serta sebotol cecair dipercayai air ketum.

“Hasil ujian saringan air kencing suspek didapat negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala permohonan reman suspek akan dibuat pada esok,” katanya.

Bagaimanapun, anggota polis yang berusia 34 tahun berpangkat Koperal itu telah menerima rawatan di sebuah hospital di Shah Alam.

Ku Mashariman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan akibat menghalang tugas penjawat awam.–AlHijrah Online

Leave a Reply