REMAN IBU DAN AYAH AMIR DISAMBUNG

AYER KEROH: Tempoh tahanan reman terhadap pasangan suami isteri yang disyaki membunuh kanak-kanak berusia tujuh tahun, Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, dilanjutkan tujuh hari sehingga 12 Februari.

Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Mohd Anuar Ostadi, terhadap wanita berusia 32 tahun dan suaminya yang berusia 38 tahun.

Lanjutan tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kedua-dua mereka yang memakai pakaian lokap berwarna jingga dan ungu itu dilihat tenang ketika dibawa masuk ke Bilik Khas Reman, Kompleks Mahkamah Ayer Keroh.

Pasangan suami isteri iaitu ibu kandung dan ayah tiri kepada mangsa sebelum ini direman tujuh hari sejak 30 Januari lalu selepas dipercayai mendera kanak-kanak tersebut sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, Melaka.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat minggu lalu, polis menerima panggilan daripada suspek lelaki yang juga bapa tiri mangsa yang mendakwa anaknya lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.

Hasil bedah siasat mendapati, terdapat pelbagai kecederaan termasuk luka baru yang di kesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu. – AlHijrah Online

Leave a Reply