ROGOL REMAJA: LELAKI ROHINGYA MENGAKU TIDAK BERSALAH

AMPANG: Dua lelaki Rohingya termasuk seorang remaja bawah umur mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol remaja perempuan di dua mahkamah berasingan di Ampang, hari ini.

Tertuduh pertama iaitu seorang remaja berusia 17 tahun yang tidak diwakili peguam didakwa di Mahkamah Majistret Ampang.

Berdasarkan pertuduhan, remaja itu didakwa merogol remaja perempuan tempatan berusia 15 tahun berkenaan di tangga sebuah rumah di Taman Komersial, Pandan Indah pada Ogos lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Mohammed Karim Mohammad Shobi, 20, didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang bagi dua pertuduhan merogol mangsa yang sama.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berkenaan di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Komersial, Pandan Indah pada 3 petang, Oktober 2019 dan 1 tengah hari pada September lalu.

Mohammed Karim yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Hakim Norhazani Hamzah menetapkan agar tertuduh tidak boleh diikat jamin dan menetapkan 14 Disember ini sebagai tarikh sebutan kes untuk serahan dokumen.–AlHijrah Online

Leave a Reply