RUMAH IKRAM KELUARGA MALAYSIA DITAMBAH, BANTU LEBIH RAMAI YANG LAYAK

KUALA LUMPUR: Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia atau Rumah IKRAM Keluarga Malaysia akan ditambah kepada 2,000 unit berbanding 1,000 unit yang diumumkan sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah yang ditambah itu akan dapat membantu lebih ramai individu yang layak untuk mendapatkan bantuan tempat berteduh.

“Saya memahami bahawa 1,000 unit rumah di 11 kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang berada di bawah kawal selia dan pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), tidak mencukupi untuk menjadi tempat berlindung bagi Keluarga Malaysia yang terkesan akibat hilang mata pencarian.

“Sukacita saya umumkan bahawa Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia akan ditambah kepada 2,000 unit, yang akan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 10 ribu isi rumah yang memerlukan,” katanya dalam ucapan pelancaran Rumah IKRAM Keluarga Malaysia.

Tambah Ismail Sabri, inisiatif Rumah IKRAM Keluarga Malaysia tepat pada masanya dan merupakan langkah penampan yang boleh kerajaan berikan kepada rakyat yang memerlukan.

Ujarnya melalui Rumah IKRAM Keluarga Malaysia ia menjadi teduhan kepada mereka yang terkesan pendapatan atau kehilangan pekerjaan sehingga tidak mampu membayar sewa rumah yang tinggi.

“Bagi mengurangkan tekanan dan bebanan kepada penerima inisiatif Rumah IKRAM Keluarga Malaysia, sukacita juga saya umumkan bahawa semua penerima manfaat akan diberikan pengecualian bayaran sehingga 6 bulan bermula dari tarikh menerima kunci.

“Pengecualian bayaran sewa ini akan ditanggung oleh kerajaan dengan melibatkan peruntukan kira-kira 3 juta Ringgit,” katanya.

Permohonan untuk mendiami Rumah IKRAM Keluarga Malaysia dibuka di laman web https://teduh.kpkt.gov.my. – AlHijrah Online

Leave a Reply