SABAH LANCAR SISTEM APLIKASI PROFILE KAMPUNG

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini melancarkan Sistem Aplikasi Profil Kampung bagi menambah baik tadbir urus Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah seterusnya mempertingkat prestasi sistem penyampaian kementerian berkenaan menerusi pendigitalan.

Sistem dibangunkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah dengan kerjasama Sabah.Net itu kini telah digunakan di pejabat daerah dan aplikasi tersebut antara lain berperanan sebagai pangkalan data pembangunan setiap kampung di seluruh negeri. 

Majlis pelancaran sistem itu disempurnakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang turut disaksikan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick pada Persidangan Pegawai Daerah Sabah yang ke-24, di sini.

Turut hadir ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Jaujan Sambakong, Datuk Wilfred Madius Tangau dan Datuk Christina Liew serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong.

Berucap pada majlis itu, Mohd Shafie berkata penggunaan digital dalam perkhidmatan awam di Sabah perlu terus diperkasakan bagi memastikan gerak kerja dapat dilakukan dengan lebih pantas sekali gus mengelak daripada berlakunya sebarang kelewatan selain mampu membantu menjimatkan kos operasi.

Mohd Shafie turut mengingatkan penjawat awam khususnya pegawai daerah di Sabah supaya tidak bergerak secara bersendirian ketika melaksanakan tugas serta tanggungjawab memenuhi keperluan rakyat, sebaliknya perlu bekerjasama dan mewujudkan koordinasi termasuk dengan wakil rakyat bagi memastikan kerja lebih sistematik dan efisien.

Pegawai daerah juga perlu menentukan keperluan serta kehendak rakyat di kawasan mereka sebelum merancang dan mengemukakan cadangan kepada pihak kerajaan bagi memastikan pembangunan mahupun perkhidmatan menjadi kepentingan rakyat diberikan keutamaan, katanya.

Pada majlis itu, Mohd Shafie turut melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar Sabah 2021-2025 yang mencakupi lapan teras utama, pernyataan dasar, strategi dan program.

Terdahulu, Ewon ketika berucap berkata pelan itu dirangka antara lain bertujuan mencapai sasaran penurunan kadar kemiskinan serta pembangunan infrastruktur asas, ameniti sosial dan modal insan komuniti luar bandar sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Pelan itu akan menjadi panduan utama kepada KPLB Sabah dan pejabat daerah dalam menjayakan RMK12, katanya.– BERNAMA

Leave a Reply