SABAR DAN TUNGGU PENJELASAN PIHAK AUTORITI- DR ZULKIFLI

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyeru semua pihak untuk bersabar dan menunggu penjelasan daripada pihak autoriti mengenai isu perkahwinan rakyat Malaysia beragama Islam di India.

Dalam masa yang sama, beliau menjunjung titah nasihat Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar agar semua pihak tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra matang dalam setiap berita yang disebarkan.

Berikutan isu berkenaan, Zulkifli berpendapat bahawa Islam menuntut umatnya untuk mengesahkan sesuatu maklumat yang diperoleh sebelum sebarang pandangan dan tanggapan dibuat.

“Tangkap layar (screenshot), rakaman video atau hantaran (posting) di media sosial adalah maklumat sekunder dan tertier yang ada kemungkinan sahih atau tidak.

“Wanita berkenaan serta ahli keluarganya jauh lebih mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku termasuk perkara terkait dengan status agamanya dan pasangannya,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli menyatakan bahawa Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan seseorang yang berbangsa Melayu itu adalah beragama Islam, dan tidak semudahnya untuk menghukum seseorang itu telah murtad.

Dalam kenyataan tersebut turut menyatakan bahawa perkahwinan antara pasangan Muslim dengan Bukan Muslim adalah tidak dibenarkan berdasarkan Seksyen 10, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003.

Tambahnya lagi, pasangan yang bukan Muslim hendaklah masuk Islam terlebih dahulu sebelum berkahwin.

“Bagi perkahwinan Muslim yang dibuat di luar negara, permohonan perkahwinan perlu dikemukakan kepada Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di negara tersebut.

“Perkahwinan ini juga perlu didaftarkan selepas pasangan pulang ke Malaysia,” katanya.

Zulkifli menyeru dirinya serta semua umat Islam di Malaysia untuk berhati-hati dalam menanggapi sebarang isu yang berlaku dengan berhemah.

Beliau juga berpesan supaya umat Islam perlu sedaya upaya memastikan Muslim yang lain kekal dalam agamanya, bukan berusaha mengeluarkannya dari agama Islam.—AlHijrah Online

Leave a Reply