KEPRIHATINAN ZULKIFLI TERHADAP RAKYAT INDONESIA DISANJUNG

Dr. Zulkifli menerima penghargaan daripada pihak KBRI dan AOMI dalam satu majlis di ibu negara, semalam.
Imej: http://www.antaranews.com

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Albakri menerima penghargaan oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) dan Aliansi Organisasi Masyarakat Indonesia (AOMI) di atas keprihatinannya menjaga kebajikan rakyat Indonesia di Malaysia, khususnya ketika pengkuatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penghargaan itu disampaikan dalam satu majlis di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di ibu negara semalam oleh Koordinator AOMI, Hardjito Warno dan wakil Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Agung Cahaya Sumirat.

Majlis berkenaan adalah aturcara sampingan sempena Mesyuarat Agung AOMI di Kuala Lumpur.

Menurut Agung, AOMI ditubuhkan ketika PKP mula dikuatkuasakan sejak Mac lalu, yang sekali gus memberi impak kepada kehidupan seharian rakyat Malaysia dan Indonesia yang bekerja di negara ini, lebih-lebih lagi apabila sebahagian sektor ekonomi ditutup.

Sementara itu, Dr Zulkifli berkata Mesyuarat Agung AOMI adalah platform yang baik kerana ia bukan sahaja melibatkan pemerintah satu pihak sahaja, tetapi kedua-dua negara.

“Minggu lalu, saya menyertai sebuah webinar anjuran sebuah yayasan yang meliputi negara-negara serantau termasuk Indonesia. Ia dilihat platform mengukuhkan hubungan Putrajaya-Jakarta dari semasa ke semasa”

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Albakri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Dr Zulkifli turut berkongsi bahawa pejabatnya telah menyalurkan dana sehingga RM360 juta kepada rakyat yang memerlukan, khususnya yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Ia termasuk penyaluran bantuan bekalan makanan kepada pekerja Indonesia yang terjejas akibat PKP, antaranya di kawasan tempat tinggal mereka di Cyberjaya.

Dr Zulkifli juga berharap pihaknya boleh terus bekerjasama dan bersinergi dengan pertubuhan masyarakat Indonesia melalui pelbagai aktiviti yang akan dirancang tidak lama lagi. – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply