PERTUBUHAN ECM LIBRA SUMBANG RM165,000 KEPADA MRA UNTUK BANTUAN PEK MAKANAN

KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) menerima sumbangan RM165,000 daripada Pertubuhan ECM Libra untuk digunakan bagi penyediaan 125,000 pek makanan kepada 1,000 keluarga selama enam bulan.

Bantuan pek makanan tersebut juga dilaporkan akan terus disalurkan sehingga COVID-19 pulih di negara ini.

Menurut kenyataan Presiden MRA Dr Mohd Daud Sulaiman, dana RM165,000 yang diterima adalah hasil sumbangan yang dikumpul melalui pertandingan skuasy anjuran Pertubuhan ECM Libra dan Kumpulan Air Asia.

“Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Pengarah Urusan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din adalah merupakan pemain yang terlibat dalam pertandingan skuasy amal ini bagi membantu golongan yang terkesan akibat pandemik yang melanda negara ini.

“Namun begitu, perlawanan amal ini telah dua kali ditangguhkan kerana COVID-19 dan akan ditangguhkan lagi ke tahun 2021 setelah mendapat kebenaran,” kata Dr Mohd Daud.

Ujar Dr Mohd Daud, MRA telah menyalurkan sebanyak 228,015 pek makanan ke seluruh Malaysia yang bernilai RM2,896,503.00 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu sehingga Disember.

Beliau turut berbesar hati atas usaha dan sokongan penuh daripada syarikat korporat dan orang awam dalam membantu badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu orang ramai yang berminat menyokong usaha MRA membantu komuniti yang terjejas akibat COVID-19 di Malaysia boleh menghulurkan sumbangan ke nombor akaun Maybank MRA iaitu 5640 9820 6365 (Malaysian Relief Agency). –- AlHijrah Online

Leave a Reply