SULTAN JOHOR TITAHKAN STATUS WANITA KAHWIN DI INDIA DISEMAK, YAKIN MAKLUMAT DITERIMA DALAM MASA TERDEKAT

GAMBAR IHSAN FB SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR

KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar menitahkan rasa duka citanya terhadap berita yang tersebar berhubung seorang wanita bangsa Johor yang dikatakan telah melangsungkan pernikahan di India tidak berdasarkan hukum syarak.

Baginda telah menitahkan agar pihak berkuasa agama Islam Negeri Johor untuk memastikan keabsahan terkini status wanita tersebut sama ada melalui ahli keluarganya dan kedutaan Malaysia di India.

“Saya percaya kita semua akan dapat memastikan kesahihan berita tersebut dalam tempoh terdekat.

“Sementara itu saya ingin menasihatkan agar semua pihak untuk tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra matang dalam menangani berita ini,” titah baginda dalam kenyataan media hari ini.

Titah baginda, hukuman tergesa-gesa terhadap wanita itu akan membina tembok yang tinggi untuk beliau kembali semula ke Malaysia dan menjarakkan lagi jurang antara dirinya dan keluarga.

“Saya juga ingin menitipkan nasihat buat wanita yang berasal dari Negeri Johor tersebut bahawa dalam membuat sesuatu keputusan pastikan tindakan anda adalah suatu tindakan yang direstui oleh ibu bapa anda dan tidak melanggar norma-norma yang ditetapkan agama Islam kita,” titah Sultan Johor.

Baginda juga menitahkan pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Mufti Negeri Johor untuk memberikan semua bantuan yang perlu kepada wanita tersebut bagi mengekalkan akidah wanita itu dalam lingkungan syariat Islam. — AlHijrah Online.

Leave a Reply