SARJAN POLIS MENGAKU TIDAK BERSALAH MINTA DAN TERIMA RASUAH

KOTA BHARU: Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan daripada seorang lelaki untuk membebaskan dua individu yang ditangkap kerana memiliki ketum, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Ameruddin Yusoof, 29 tahun memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh merupakan Sarjan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh didakwa secara rasuah meminta suapan RM5,000 daripada seorang lelaki untuk membebaskan dua individu yang ditangkap atas kesalahan memiliki ketum.

Kesalahan tersebut berlaku di Kampung Lembah Semerah, Pasir Puteh, kira-kira jam 1 tengah hari,pada 1 April 2019.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan RM5,000 daripada lelaki yang sama untuk membebaskan dua individu yang memiliki ketum di Bandar Baru Pasir Puteh, kira-kira jam 6.50 petang, pada 1 April 2021.

Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 17(a) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta SPRM 2019 iaitu hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin, dan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM terdekat pada hari pertama setiap bulan.

Hakim kemudian menetapkan 24 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.—AlHijrah Online

Leave a Reply