SEKATAN ISRAEL JEJAS PUNCA REZEKI NELAYAN PALESTIN

Sumber Gambar : AFP

GAZA: Sekatan Israel terhadap nelayan Palestin menyebabkan kumpulan itu berdepan cabaran untuk mendapatkan hasil laut.

Seorang nelayan Palestin, Mohammed Al-Nahal berkata di bawah sekatan Zionis para nelayan Palestin hanya dibenarkan menangkap ikan di perairan cetek dan terhad sumber laut.

“Jika kami berupaya menangkap 200 kilogram ikan sardin, itu sudah cukup memadai. Namun kami juga berisiko pulang dengan tangan kosong,” kata Mohammed Al-Nahal.

Harga petrol yang mahal turut menyukarkan operasi kumpulan nelayan terbabit untuk ke tengah laut.

“Lebih jauh kami pergi, lebih banyak petrol digunakan tanpa jaminan akan mendapat hasil laut,” katanya yang mengetuai lima buah bot nelayan.

Bagi Gaza, tembok tiga bahagian yang dibina Israel sejak Hamas berkuasa pada 2007, menjanjikan laut sebagai sebuah kebebasan kepada mereka namun ternyata ia hanya sekadar mimpi.

Tentera Laut Israel mengawal penuh kira-kira 40 kilometer dari pesisir perairan Gaza dan mengehadkan zon tangkapan ikan atas alasan keselamatan.

Walaupun begitu, zon penangkapan ikan diperluaskan kepada 15 batu nautika pada bulan lalu selepas keadaan kembali tenang susulan konflik 11 hari antara Hamas dan Israel pada Mei lalu.

Bagaimanapun Nahal dan kumpulannya tidak sanggup mengambil risiko untuk pergi sejauh itu dan bagi mereka, enam batu nautika sudah memadai bagi menangkap ikan sardin atau tuna.

Malah nelayan Palestin takut untuk pergi jauh ke tengah laut kerana beberapa insiden pernah berlaku sebelum ini apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah mereka dan merosakkan pukat.

“Kami tidak memiliki enjin yang baik untuk pergi sejauh 15 batu nautika kerana buat masa ini kami tidak dibenarkan memiliki enjin sedemikian di Gaza,” katanya.

Ujarnya, Israel menyekat pengimportan enjin dan mesin baharu kerana dikhuatiri para nelayan dapat membantu pengeluaran senjata Hamas atau digunakan untuk penyeludupan. –AlHijrah Online

Leave a Reply