PEDULI TALIBAN ATAU PEDULI AFGHANISTAN?

Lima belas oktober lalu genap dua bulan Taliban mengambil alih tampuk pimpinan di Afghanistan selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan jatuhnya Republik Islam Afghanistan yang diketuai Presiden Ashraf Ghani.

Selama itulah juga masyarakat dunia mula memberikan tumpuan luar biasa kepada negara bergolak itu terutamanya membabitkan isu pembentukan kerajaan inklusif di Afghanistan, isu hak wanita dan isu jaminan akses kemanusiaan di negara terbabit.

Realitinya keadaan di Kabul amat mendesak dari hari ke hari apabila keadaan ekonomi Afghanistan yang semakin meruncing. Mata wang Afghani semakin menjunam dari hari ke hari dengan kenaikan harga barang keperluan asas.

Ketika penulis mula-mula tiba di Kabul, kira-kira sebulan lalu, kadar tukaran mata wang Afghani adalah sekitar USD1 bersamaan 85 Afghani dan sekarang ia sudah melebihi 90 Afghani untuk setiap dolar Amerika.

Harga barangan seperti tepung dan minyak masak juga meningkat naik, begitu juga harga petrol selepas berlakunya pertukaran kerajaan Afghanistan sejak dua bulan lalu. Lebih memburukkan apabila lebih ramai yang kini terjerumus dalam kelompok miskin.

Jika sebelum ini, statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan lebih 18 juta rakyat Afghanistan memerlukan bantuan asing, perangkaan itu barangkali tak lagi terpakai ekoran ribuan kakitangan kerajaan yang tidak menerima gaji sejak empat bulan lalu, tergolong dalam kelompok memerlukan.

Ini dapat disaksikan di universiti-universiti swasta di negara itu apabila pelajar-pelajar tidak lagi datang ke universiti untuk belajar kerana tidak mampu membayar yuran (ibu bapa kakitangan kerajaan) walaupun pihak universiti dilaporkan memberikan potongan yuran sehingga 50 peratus.

Di jalanan di Kabul, penulis melihat dengan ketara jumlah peminta sedekah yang amat luar biasa jumlahnya daripada kanak-kanak berpakaian kotor, wanita yang mengendong bayi di jalanan, warga emas dan lelaki yang nampak sihat tetapi membawa anaknya di jalanan untuk menagih sekeping roti.

Di sebuah taman di kawasan Shahrer Naw di tengah-tengah kota Kabul pula terdapat 1,500 pelarian dalaman negara (IDP) yang tinggal di dalam khemah-khemah daif. Majoriti daripada IDP di sini adalah mereka yang terjejas perang sebelum Taliban mengambil alih Afghanistan pada pertengahan Ogos lalu.

Menurut sumber tempatan, ada juga dalam kalangan mereka yang tinggal di khemah IDP di Shahrer Naw ini adalah penduduk Kabul yang dikatakan mengambil kesempatan untuk meminta bantuan. Penulis secara peribadinya tidak bersetuju dengan pandangan ini sekalipun dakwaan ini adalah benar.

Jika seseorang itu tiada pilihan untuk memastikan adanya makanan di atas meja untuk keluarganya, maka dia akan melakukan apa saja untuk memastikan anak-anaknya tidak lapar dan ini mungkin satu-satunya pilihan yang ada pada individu berkenaan.

Mencuri atau merompak bukanlah satu pilihan di zaman Taliban di Afghanistan. Ini kerana pejuang-pejuang Taliban yang dulunya berperang dengan tentera asing, kini bertukar fungsi sebagai polis-polis di jalanan Kabul akan mengambil tindakan tegas kepada pesalah.

Minggu pertama penulis berada di Afghanistan pada pertengahan September lalu, empat penjenayah ditembak mati dan digantung di khalayak ramai di bandar Herat kerana melakukan jenayah penculikan. Sekali imbas ia seakan-akan undang-undang rimba yang amat keras tetapi kerana itulah juga jenayah tidak lagi menjadi isu di Afghanistan.

“Dulu jika suami saya keluar rumah, saya tidak tahu beliau akan balik atau tidak. Itu mungkin kali terakhir saya melihat suami saya. Dulu tidak selamat tetapi sekarang keadaan lebih selamat,” kata Masouda Jami.

Tidak keterlaluan jika penulis mengatakan yang keadaan di Kabul secara relatifnya adalah lebih tenang. Kelihatan warga Afghanistan meneruskan kehidupan seharian mereka seperti biasa walaupun hakikat situasi ekonomi semakin menekan.

Sepanjang 23 hari penulis berada di Afghanistan sejak 24 September lalu melalui Misi Kecemasan Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) terdapat tiga insiden pengeboman di masjid termasuk di satu di Kabul. Dua insiden lagi membabitkan insiden pengebom bunuh diri ketika solat Jumaat di masjid syiah di Kunduz dan Kandahar yang mengorbankan lebih 80 nyawa dengan ratusan cedera.

Siri pengeboman yang dilakukan kumpulan pengganas ISIS ini tidak lain tidak bukan bertujuan memberikan gambaran kepada dunia bahawa keadaan di Afghanistan adalah tidak selamat di bawah pemerintahan kerajaan interim Emeriyah Islam Afghanistan yang diterajui Taliban.

Hal ini diakui dalam pertemuan di Moscow Rabu lalu (20 Oktober 2021) apabila delegasi kerajaan interim Afghanistan bertemu dengan wakil-wakil daripada 10 kuasa serantau termasuk Russia, China, Pakistan dan India, dalam mencari penyelesaian di bumi Afghanistan.

Ketika negara-negara Islam, khususnya Persidangan Kerjasama Islam (OIC) yang kelihatan senada dengan sikap “tunggu dan lihat” majoriti negara-negara di dunia ke atas Afghanistan, sekurang-kurangnya kita harus memuji 10 negara serantau terbabit termasuklah negara Asia Tengah seperti Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmeknistan dan Uzbekistan.

Pertemuan di Moscow pada Rabu lalu itu menyaksikan 10 negara serantau itu menyokong permintaan kerajaan interim Emeriyah Islam Afghanistan supaya Persidangan PBB untuk menyelamatkan Afghanistan dianjurkan segera bagi mengelakkan keruntuhan ekonomi dan krisis kemanusiaan di negara bergolak itu.

Penulis bukanlah pendokong negara kuasa besar seperti Russia mahupun Amerika Syarikat, namun tindakan negara itu untuk mengisi ruang kosong yang ditinggalkan AS bagi mengelakkan krisis di wilayah Asia Tengah itu perlu diberi perhatian oleh masyarakat dunia.

Langkah untuk mengasingkan atau isolasi Afghanistan (baca Emeriyah Islam Afghanistan) tidak akan menguntungkan mana-mana pihak apatah lagi negara jiran dan negara serantau yang mempunyai kepentingan di wilayah Asia Tengah dan Asia Selatan.

Russia yang sebelum ini pernah dikalahkan dan dinyahkan oleh pejuang-pejuang Mujahideen dari bumi Afghanistan ketika pendudukannya ke atas negara itu dari tahun 1979 hingga 1989, amat menyedari bahawa keadaan tidak stabil di Afghanistan akan menjejaskan keamanan serantau dan juga kepentingannya.

Malah menteri luar Afghanistan, Mawlawi Amir Khan Muttaqi dilaporkan memberi jaminan bahawa Emeriyah Islam Afghanistan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan negara konflik itu sebagai pangkalan untuk mengancam keselamatan mana-mana negara.

Kenyataan itu tentunya merujuk kepada kesilapan Afghanistan sebelum ini yang didakwa menjadi sarang militan Al-Qaeda dan Osama bin Laden yang mendalangi serangan ke atas World Trade Center pada 11 September 2001 yang seterusnya menjadi titik mula campurtangan Amerika Syarikat ke atas negara itu.

Persidangan PBB untuk menyelamatkan Afghanistan adalah langkah permulaan yang baik sekalipun setakat ini, tiada lagi negara yang mengiktiraf Emeriyah Islam Afghanistan. Ini kerana tanpa bantuan masyarakat antarabangsa, Afghanistan akan terjerumus dalam krisis kemanusiaan yang dahsyat akibat kepincangan ekonominya ketika ini.

Situasi akan menjadi lebih buruk dengan kedatangan musim sejuk dalam tempoh sebulan lagi. Keadaan akan lebih parah apabila PBB meramalkan lebih 3.2 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun, diramalkan mengalami malnutrisi akut menjelang hujung tahun.

Mengambil contoh isu Syria, persidangan khas PBB bagi mengutip dana yang dihoskan kerajaan Kuwait pada 2013, 2014 dan 2015 sebelum ini telah terbukti berjaya memberikan impak signifikan kepada pelarian Syria yang terjejas perang sejak 2011.

Cuma apa yang menjadi ralat kepada penulis adalah tidak seperti isu Syria yang menyaksikan negara Islam (Kuwait) menjadi juara dalam membantu umat Islam, isu di Afghanistan nampaknya akan dijuarai Russia dan mungkin juga China yang mempunyai kepentingan strategik di rantau Asia Tengah itu. Pandangan penulis ini bagaimanapun tidak mengenepikan peranan Turki dan Qatar di Afghanistan ketika ini.

Untuk rekod, setakat ini, Malaysia belum mengiktiraf kerajaan interim Emeriyah Islam Afghanistan, tetapi badan-badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia telah menyalurkan bantuan kepada rakyat Afghanistan sejak tahun 2001. Antara NGO terbabit adalah Mercy Malaysia, Islamic Relief Malaysia (IRM), Malaysian Relief Agency (MRA), Muslim Care Malaysia dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah pada Mesyuarat Menteri Peringkat Tinggi Mengenai Situasi Kemanusiaan di Afghanistan yang dikelolakan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres sebelum ini dilaporkan berkata bahawa Malaysia akan menyumbang USD100,000 (RM417,000) untuk membantu rakyat Afghanistan.

Persoalannya, adakah masyarakat dunia pedulikan nasib 40 juta rakyat Afghanistan yang baru keluar dari kancah peperangan ini atau mereka akan dihukum kerana pihak yang menjadi kerajaan di negara itu ketika ini adalah Taliban yang selama ini dilabelkan sebagai “pengganas” oleh negara kuasa besar?

Dalam menjawab persoalan ini, kita seharusnya memahami realiti terkini di Afghanistan. Realitinya adalah lebih 40 peratus daripada 40 juta populasi di Afghanistan dilaporkan tidak mempunyai makanan atau dengan kata lain, lapar.

Realitinya juga adalah Taliban yang kini menerajui kerajaan interim di negara itu selepas kejatuhan 20 tahun pemerintahan Republik Islam Afghanistan yang disokong Amerika Syarikat, adalah kerajaan semasa dan realiti baharu di Afghanistan.

Sepertimana kerajaan di seluruh dunia, ada yang mendokong Emeriyah Islam Afghanistan begitu juga yang menentangnya. Namun apa yang lebih penting, hanya masa akan menentukan sama ada Taliban diterima rakyat Afghanistan atau sebaliknya.

Komuniti dunia juga akan menilai adakah Emeriyah Islam Afghanistan yang diterajui Taliban akan mengotakan janjinya untuk membentuk kerajaan inklusif, mengiktiraf hak wanita dalam masyarakat sejajar dengan undang-undang syariah yang akan dilaksanakannya atau bertindak sebaliknya.

Apa yang lebih penting, masyarakat dunia seharusnya bertindak sekarang untuk menyelamatkan lebih 18 juta rakyat Afghanistan yang terjejas kerana akhirnya mereka juga adalah manusia yang mempunyai hak untuk hidup seperti kita. — AlHijrah Online

Syed Azwan Syed Ali adalah Koresponden AlHijrah Online/Berita AlHijrah dalam isu antarabangsa dan semasa, mempunyai lebih 16 tahun pengalaman dalam bidang kewartawanan, khususnya liputan di zon konflik dan bencana.

Leave a Reply