SELANGOR CADANG SEKTOR EKONOMI DAN INDUSTRI DITUTUP SEHINGGA TAMAT PKPD

COVID

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor telah mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar mengekalkan penutupan sektor ekonomi dan industri yang telah ditetapkan di negeri itu sehingga tamat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata cadangan itu telah dibentangkan dalam mesyuarat hari ini.

“Kerajaan negeri turut mencadangkan agar vaksinasi pekerja dipercepatkan dan kadar vaksinasi ditentukan sebagai antara faktor pembukaan sektor ekonomi.

“Kerajaan negeri melihat matlamat pelaksanaan PKPD iaitu bagi memutuskan rantaian wabak serta mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara masih belum dicapai,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Cadangan itu dibuat sehari selepas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi di lokaliti yang dikenakan PKPD di Selangor bermula kelmarin.

Tambah Amirudin, kerajaan Selangor mencadangkan agar MKN membenarkan hanya sektor ekonomi yang perlu sahaja dibuka.

Dalam pada itu, menurut beliau jumlah kes yang tinggi di Selangor semalam akibat saringan menyeluruh di kawasan PKPD serta saringan kontak rapat kes positif di PKPD.

Selangor semalam mencatatkan 4,152 kes COVID-19 daripada keseluruhan 8,868 kes baharu di seluruh negara. — AlHijrah Online

Leave a Reply