PAKIR HATTM SEMEMANGNYA DIREKA UNTUK ‘DISASTER MANAGEMENT ZONE’

KUALA LUMPUR: Ruang pakir ‘basement’ Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) sememangnya direka khas sebagai ‘Disaster Management Zone’ (DMZ) semasa awal pembinaan bagi menghadapi kes-kes bencana kimia dan biologi.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata ruang pakir hospital tersebut tidak seperti ruang pakir biasa kerana dilengkapi kemudahan yang boleh digunakan untuk tujuan rawatan.

“Ia disokong dengan faktor kemudahan sedia ada yang telah terbina di kawasan berkenaan dari aspek bekalan kuasa elektrik, bekalan oksigen, vacuum ports dan lain-lain bantuan sokongan perubatan yang mampu mengendalikan pesakit dengan kapasiti yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi siang tadi membuat tinjauan ke HATTM bagi melihat persiapan hospital berkenaan menyediakan DMZ untuk menampung keperluan rawatan pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat di kawasan Lembah Klang.

Persiapan DMZ yang siap sepenuhnya pada semalam, turut dibantu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

DMZ tersebut telah beroperasi sepenuhnya hari ini untuk menerima pesakit COVID-19 bagi kategori 4 dan 5. – AlHijrah Online

Leave a Reply