SIS GAGAL CABAR FATWA SELANGOR, SEMUA PIHAK PERLU HORMATI KEPUTUSAN MAHKAMAH

SHAH ALAM: Semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini, yang menolak rayuan Sisters in Islam (SIS) Forum bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), yang mengisytiharkan pertubuhan berkenaan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

ARTIKEL BERKAITAN – SESAT DAN MENYELEWENG, SIS FORUM GAGAL BATAL FATWA MAIS

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata beliau percaya, peruntukan undang-undang sedia ada mampu memelihara kesucian agama Islam.

“Kalau dibawa ke Mahkamah Persekutuan sekali pun, sama ada mereka (SIS Forum) menang atau kalah, tentunya ini memberikan gambaran tentang keharmonian beragama di negara kita. Jadi sebaiknya pengamalan agama diadakan secara harmoni dan lebih sejahtera.

“Saya percaya kebijaksanaan pengamal undang-undang untuk membuat keputusan di Mahkamah Persekutuan nanti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jualan Rahmah Sempena ‘Back to School’ Peringkat Negeri Selangor di AEON Big Seksyen 23 di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan SIS Forum untuk membatalkan fatwa Selangor dikenakan kepada agensi tersebut pada Okt 2014, yang mengisytiharkan mereka sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran sebenar Islam.–AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply