SJR DI SEMPADAN NEGERI BERAKHIR 12 TENGAH MALAM INI

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menutup semua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri, bermula 12.00 tengah malam ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, penutupan SJR itu susulan pengumuman kerajaan berkenaan kebenaran merentas negeri bagi golongan lengkap divaksinasi yang bermula esok, Isnin 11 Oktober.

Bagaimanapun, SJR Op Benteng dan SJR Cegah Jenayah akan dikekalkan bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Meskipun tiada SJR di sempadan negeri, PDRM tetap menggerakkan pasukan-pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan masyarakat sentiasa mengamalkan SOP.

“Pemeriksaan-pemeriksaan akan dijalankan oleh pihak berkuasa secara rawak di lokasi-lokasi tumpuan umum, berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Acryl mengulas, masyarakat dinasihatkan untuk tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan di samping sentiasa mengamalkan pematuhan SOP demi mengelakkan penularan wabak COVID-19.—AlHijrah Online

Leave a Reply