KES BASIKAL LAJAK: WANITA KEKAL BEBAS TUDUHAN MEMANDU SECARA MELULU

JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini memutuskan untuk membebas serta melepaskan jurujual wanita daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, empat tahun lepas.

Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan tersebut selepas mendapati pendakwaan terhadap Sam Ke Ting, 26 tahun gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

“Selepas meneliti segala keterangan yang dikemukakan dan menimbang semua hujahan Timbalan Pendakwa Raya dan peguam bela tertuduh di akhir kes pembelaan, timbul keraguan munasabah dalam minda saya.

“Maka diputuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, tertuduh dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan di akhir kes pembelaan,” katanya seperti dilapor BERNAMA.

Siti Hajar dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpendapat keterangan tertuduh tidak mengetahui terdapat aktiviti basikal lajak di kawasan itu adalah munasabah.

Tambahnya, keterangan Sam bahawa dia berada di lorong paling kiri lokasi kejadian di Jalan Lingkaran Dalam juga bertepatan dengan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu Sam yang sebelum ini digantung, dikembalikan kepadanya dengan serta-merta.

Tertuduh sebelum ini diarahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya serta mengetepikan perintah Mahkamah Majistret pada 28 Okt 2019 yang membebas dan melepaskannya daripada pertuduhan itu.

Sam sebelum ini didakwa memandu kereta secara melulu atau berbahaya di Jalan Lingkaran Dalam di sini, sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.

Mangsa yang terlibat merupakan Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14, Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14, Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16, Fauzan Halmijan, 13, Mohamad Azhar Amir, 16, Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14, Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14, dan Haizad Kasrin, 16.—AlHijrah Online

Leave a Reply