SMK Tanjung Adang diarah tutup sementara

Kebakaran hutan di Johor Bharu yang bermula 21 Ogos lalu di hutan Kampung Pekajang, Gelang Patah kini telah mencapai keluasan 96 hektar.

JOHOR BHARU – Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Adang diarah tutup sementara bagi mengelakkan sebarang masalah kesihatan yang mungkin timbul ekoran daripada kebakaran hutan yang berlaku.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, arahan itu selaras titah Pemangku Raja, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim yang bimbang dengan kesihatan pelajar sekolah berikutan lokasi berkenaan berdekatan dengan kawasan kebakaran hutan yang kini mencapai keluasan 96 hektar.

“Saya ambil maklum dan junjung kasih Pemangku Raja. Saya harap Jabatan Pendidikan Johor ambil maklum atas titah yang disampaikan Pemangku raja, kerajan negeri agensi berkaitan sentiasa berusaha untuk pastikan kebakaran dapat diselesaikan segera,” katanya.

Datuk Dr. Sahruddin Jamal

Antara perancangan awal bagi mengawal kebakaran dari merebak ialah dengan melakukan pembenihan awan.

Kerajaan negeri juga sedang menyemak status tanah hutan terbakar yang turut melibatkan beberapa pemilik.

Walau bagaimanapun, setakat ini jabatan kerajaan yang berpusat di Kota Iskandar masih beroperasi seperti biasa.

Semalam, Tunku Mahkota Ismail melakukan lawatan di lokasi kebakaran dan menitahkan Sekolah Menengah Tanjung Adang ditutup sementara demi kesihatan 200 pelajarnya.

Sebelum itu, hutan di Kampung Pekajang, Gelang Patah mula terbakar sejak 21 Ogos lalu melibatkan keluasan 16 hektar. Lebih 70 anggota bomba digerakkan untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Leave a Reply