MOA cari kaedah lupus bot asing

MANJUNG – Kaedah melupuskan bot nelayan asing yang dirampas kerana menangkap ikan di perairan negara akan dibuat dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Sim Tze Tzin berkata, pihaknya kini dalam proses perbincangan akhir bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung cara yang sesuai untuk memusnahkan bot berkenaan.
“Kita tahu bahawa kawasan perairan Malaysia ini penuh dengan sumber laut yang lumayan, jadi bot-bot negara asing selalu suka memasuki zon perairan kita, menyebabkan kerugian kepada negara dan juga nelayan kita.
“Jadi kita ingin adakan satu pelupusan sebagai satu cara menyampaikan mesej kepada penceroboh ini supaya jangan sekali-kali masuk perairan Malaysia dengan sewenang-wenangnya,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Bangunan Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Perak di Seri Manjung, siang tadi.
Keputusan melupuskan bot tersebut juga bertujuan menunjukkan kepada pihak antarabangsa bahawa Malaysia serius menangani isu pencerobohan nelayan asing.
Perairan Pantai Timur merupakan kawasan yang sering diceroboh nelayan asing terutama dari Vietnam.
Sejak tahun 2006 sehingga kini, 1,198 bot nelayan asing telah dirampas dengan 10,039 kru ditahan dan majoritinya adalah warga negara Indonesia serta Vietnam.
Empat bot nelayan asing yang dirampas sejak 2014 hingga tahun lalu pula ditenggelamkan kira-kira empat batu nautika dari perairan Tumpat, Kelantan.