ANDA menghadapi kematian pasangan, sedang berdukacita atas pemergiannya
yang tiba-tiba, atau kehilangan orang tersayang yang tidak pernah tersangkakan
dalam sekelip mata. Dalam kesedihan yang bukan sedikit itu, anda kebingungan
mahu bertindak, sementelah pula wang tunai tiada di tangan, atau sememangnya
tiada wang langsung untuk pengurusan jenazah. Manakala dunia masakini, semua
perkhidmatan memerlukan wang ringgit.
Pada waktu sebeginilah, kehadiran insan yang berpekerti mulia mampu
menghilangkan sedikit sebanyak duka nestapa yang sedang ditanggung. Nama Mohd
Zulkhairi Zainol dan pasukan Amal Teamnya kini sedang meniti dari bibir ke
bibir insan marhaen atau sesiapa sahaja yang memerlukan khidmat pengurusan
jenazah yang “tidak cekik darah”.
Memahami tanggungjawab menguruskan jenazah secara fardhu kifayah serta
prinsip memudahkan urusan sesama manusia, Mohd Zulkhairi atau lebih masyhur
dengan nama Hery sentiasa menghulurkan bantuan melalui kerja amal bersama
pasukan kecilnya.
Pernah suatu ketika Hery berhadapan dengan kisah sedih seorang lelaki
yang tidak mampu membayar caj RM2,000 untuk urusan pengebumian isteri tercinta.
Kisah yang disiarkan oleh mStar itu memperlihatkan betapa berharganya
pertolongan Hery dan rakan-rakannya membantu menyelesaikan urusan lelaki
tersebut dengan kos paling minima.
Pengkebumian isterinya berjaya diuruskan dengan baik hanya dengan caj
RM450 berbanding RM2,000 yang dikenakan terhadapnya sebelum itu.
Bukan sekadar menguruskan jenazah, Amal Team juga berusaha menyelesaikan
kes yang merentas sempadan negara. Mereka pernah menolong seorang anak untuk
membawa pulang jenazah ibunya yang meninggal dunia di Australia setelah
mengumpulkan dana sebanyak RM31,000 yang disalurkan terus ke akaun bank milik
anak Allahyarham.
Jenazah Siti Patimah Mohamad Nor yang telah pergi ke Australia bagi
meraikan Aidilfitri bersama anaknya sebelum meninggal dunia pada 11 Jun di
negara tersebut berjaya dibawa pulang atas usaha Amal Team.
Dua bentuk pertolongan Amal Team ini adalah sebahagian bukti bahawa masih kedapatan insan berhati mulia dalam situasi masyarakat hari ini yang sangat mementingkan diri dan nilai materi semata-mata.
Segolongan kecil insan berperibadi sebeginilah yang perlu kita uar-uarkan untuk dijadikan contoh ikutan masyarakat, sebelum manusia benar-benar menjadi ‘robot’ yang tiada lagi perasaan dalam keterujaan menyediakan diri menghadapi Revolusi Industri ke-4.