SOP FASA KEDUA PELAN PEMULIHAN NEGARA

PUTRAJAYA: Peralihan fasa pertama kepada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih tidak membenarkan aktiviti merentas negeri dan daerah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun pengecualian diberikan untuk pergerakan guru sekolah dan pelajar kelas-kelas peperiksaan.

Tambahnya, pengecualian khas diberikan kepada pasangan jarak jauh dalam kes-kes kecemasan dan keperluan khas dengan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kedai buku dan alat tulis, kedai komputer dan telekomunikasi, kedai barangan elektrik, kedai cuci kereta dan kedai gunting rambut (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja) dibenarkan beroperasi dalam fasa kedua PPN.

“Pasar tani dan pasar pagi juga dibenarkan beroperasi dari jam 7.00 pagi sehingga 11.00 pagi dan jualan diterhadkan kepada 6 komoditi utama sahaja iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging.

“Bagaimanapun, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan untuk dibuka,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz secara maya, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa kapasiti pekerja bagi sektor swasta dalam perkhidmatan perlu (essential services) akan dinaikkan kepada 80 peratus.

Dalam perkembangan yang sama, semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu dan tiada sentuhan fizikal dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 2 hingga 3 meter bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri juga dibenarkan.

“Ini termasuk aktiviti secara berindividu seperti joging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis perseorangan, golf, permotoran dan seumpamanya,” katanya.

Ismail berkata, kesemua kebenaran yang diberikan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan di samping memastikan penjarakan fizikal.

Bagi aktiviti keagamaan, ianya tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa agama negeri.—AlHijrah Online

Leave a Reply