BATU PAHAT: “Kami dengan ikhlas memohon maaf atas kejadian berkaitan sarung kaki memaparkan perkataan sensitif yang tidak disengajakan.”
Demikian antara yang tertulis pada kain rentang dinaikkan pihak kilang yang terkait kontroversi pengedaran stoking tertera kalimah Allah.
Kain rentang yang digantung di pagar utama kilang terbabit dipercayai dinaikkan hari ini.
Antara perkara lain yang tertulis pada kain rentang tersebut ialah janji pihak kilang untuk sentiasa memastikan sensitiviti masyarakat berbilang agama terjaga.
Turut tercatat komitmen mereka untuk memastikan sensitiviti keharmonian terpelihara dan meningkatkan usaha kawalan kualiti.
“Kami sekali lagi memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia,” tulis syarikat itu.
Kilang terbabit juga dilaporkan sedang menutup operasinya dan tidak dimaklumkan tarikh penyambungan semula operasi.
Polis semalam melakukan serbuan di kilang berkenaan dan telah merampas lima stoking tertera kalimah Allah yang dipercayai barang dipulangkan selepas tular isu tersebut.
Lapan individu termasuk pemilik dan pengasas KK Supermart & Superstore Sdn Bhd juga telah dirakam keterangan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah yang mendapat perhatian umum termasuk Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. — AlHijrah Online