SUSPEK KES PECAH RUMAH MAUT DIGILIS

GOPENG: Seorang lelaki yang juga suspek kes pecah rumah di Alor Setar dan Kuala Kedah maut digilis kenderaan lain di Kilometer 295 Lebuhraya Plus dekat Gopeng awal pagi tadi.

Kemalangan ngeri itu menyebabkan tubuh mangsa hancur berkecai dan Pasukan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengambil masa kira-kira dua jam bagi mengutip cebisan mayat tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim, mangsa yang berumur 40 tahun merupakan suspek yang masih bebas bagi kes pecah rumah di Alor Setar dan Kuala Kedah baru-baru ini.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 3.50 pagi apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak Evo terbabas sendiri dan jatuh di atas jalan sebelum digilis Perodua Myvi dan sebuah lagi kenderaan yang tidak dikenal pasti.

“Mangsa maut di tempat kejadian kerana diseret sejauh lebih kurang 200 meter dari tempat kejadian. Motosikal yang ditunggang mangsa pula dijumpai di lorong kecemasan lebih kurang 1,000 meter dari lokasi kejadian,” ujarnya.

Menurut beliau, semakan mendapati motosikal yang ditunggang itu juga dilaporkan dicuri pada 15 Oktober lalu di Alor Janggus, Alor Setar, Kedah.

Tambahnya, mangsa juga dikehendaki dalam kes Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan pagar Masjid Kubang Siam.

Ujar beliau, proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply