AGONG TITAH MASJID SELURUH NEGARA ADAKAN SOLAT HAJAT, DOA SELAMAT

GAMBAR IHSAN BERNAMA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan semua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah SWT agar penularan wabak COVID-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan segera.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan titah Al-Sultan Abdullah itu berikutan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya serta kewujudan beberapa kluster baharu di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Labuan.

“Seri Paduka Baginda menasihati seluruh rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi penularan COVID-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.

“Mengambil keberkatan sempena hari Jumaat yang mulia ini, Al-Sultan Abdullah turut menyeru seluruh rakyat untuk berdoa semoga negara yang kita cintai bersama ini dikurniakan keamanan dan ketenangan agar kemakmuran dan kesejahteraaan negara serta rakyat sentiasa terjamin,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataannya hari ini.

Sementara itu berhubung situasi terkini politik negara, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat khususnya ahli-ahli politik untuk bersama bermuhasabah agar negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu ketika Malaysia masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak COVID-19.

“Al-Sultan Abdullah turut mengulangi titah nasihat baginda kepada ahli-ahli Parlimen semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada bulan Mei lalu, untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat,” ujar Ahmad Fadil.

Tambah beliau Al-Sultan Abdullah bertitah ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan

Leave a Reply